Tuesday, January 4, 2011

Isu SUK Selangor. Raja-Raja Melayu Dicabar?

isu suk selangor Isu SUK Selangor. Raja Raja Melayu Dicabar?

Ada rakyat Selangor di sini, apa dah jadi dengan negeri Selangor sekarang ini? Kalau anda buka TV3, Utusan Malaysia, Berita Harian, New Strait Times dan juga Malaysiakini, mereka kerap menyediakan liputan tentang “pergolakan” yang berlaku di negeri Selangor apabila melibatkan isu pelantikan SUK Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor ketika ini. Apa dah jadi sekarang?

Hari ini kalau ikutkan upacara angkat sumpah Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai setiausaha kerajaan negeri Selangor yang baru, tetapi kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim beliau tak nak datang upacara mengangkat sumpah. Selangor memang boleh dicopkan sebagai negeri yang paling popular di Malaysia. Kerap juga isu berbangkit di negeri Selangor. Isu pasir di Selangor sempat kami kupas, yang lain-lain isu yang timbul hanyalah standard tadika kemas sahaja, tak perlu diperbesar-besarkan.

Sebenarnya apa sebab-musabab yang menyebabkan isu pelantikan SUK (Setiusaha Kerajaan Negeri Selangor) timbul?

Masalah bermula apabila Kerajaan Selangor menolak Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang dilantik Suruhanjaya Perkhidmatan Awam iaitu, Datuk Mohd Khusrin Munawi dan dalam masa yang sama tidak dimaklumkan pelantikan tersebut kepada kerajaan negeri Selangor. Dalam masa mudahnya masuk rumah orang tak bagi salam, terus main masuk sahaja, begitulah. Masalah ya akan timbul apabila kerajaan negeri Selangor tidak bersetuju dengan pelantikkan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor kerana :

* Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor perlu hadir ke mesyuarat exco negeri
* Kehadiran Setiausaha Kerajaan Negeri dalam mesyuarat tersebut perlu mendapat persetujuan Menteri Besar Selangor. Kalau Menteri Besar Selangor tak setuju, akhirnya jawatannya hanya pada nama dan peranan Setiausaha Kerajaan Negeri tidak kesampaian
* Khusrin juga tidak akan dibenarkan menghadiri mesyuarat exco atau menjalankan tugas-tugas rasmi sehingga isu berkenaan selesai
* Kalau mengikut laporan Malaysiakini semalam Menteri Besar Selangor sendiri mengakui perlantikkan Khusrin sebagai “sah” dan beliau boleh melaksanakan tugas-tugas tidak rasmi seperti menyelia pegawai daerah.

isu suk selangor 5 Isu SUK Selangor. Raja Raja Melayu Dicabar?

Setakat ini, hanya Johor, Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu sahaja yang ada SuruhanJaya Perkhidmatan Negeri manakala negeri-negeri lain semuanya di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Okey, kalau ikutkan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) merupakan jawatan utama dalam perkhidmatan awam sesebuah negeri. Jawatan ini dahulu ada sebelum wujudnya negeri-negeri Melayu Bersekutu dan wujud sebelum campur tangan British lagi. Contoh? Contohnya jawatan setiausaha kerajaan negeri Kedah wujud sejak zaman pemerintahan Sultan Abdul Hamid.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) adalah ketua kepada mana-mana pegawai perkhidmatan awam negeri dan juga menjadi bos kepada Pegawai Kewangan Negeri, Yang Dipertua Majlis Perbandaran/Daerah, Pegawai-pegawai daerah dan mana-mana badan berkanun negeri. Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) biasa disandang Pegawai daripada kalangan skim PTD yang dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam manakala Sabah dan Sarawak dijawat oleh Pegawai Tadbir Negeri (PTN) yang bahasa mudah close service. Contoh :

* Pegawai KCS bagi negeri Kedah
* Pegawai JCS bagi negeri Johor
* Pegawai KnCS bagi negeri Kelantan
* Pegawai TCS bagi negeri Terengganu yang dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri

Pegawai PTD ini adalah pegawai persekutuan tetapi dipinjamkan persekutuan kepada Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan juga Negeri-negeri Selat seperti terdapat dalam perkara 134 (1) (2) Perlembagaan Persekutuan. Peminjaman pegawai PTD dan pegawai persekutuan dari skim lain kepada negeri seperti Penasihat Undang-undang Negeri ini diperkukuhkan melalui perjanjian yang ditandatangani pada 26 Januari 1948 perjanjian penubuhan Perjawatan Malaya. Sekarang ini perjawatan Malaya dikenali Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Perjanjian tersebut telah dipersetujui oleh Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan juga Negeri-negeri Selat lain yang mana negeri yang bersetuju seperti dalam artikel 3 dalam perjanjian tersebut mengatakan:

* Setiap kerajaan negeri ini bersetuju menerima dan mengambil bekerja pegawai yang telah diletakkan dalam perjawatan malaya bagi semua jawatan yang disenarikan dalam jawatan kedua (jawatan Setiusaha Kerajaan Negeri SUK, Pegawai Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri
* Jika mungkir (Kerajaan negeri) kena membayar segala perbelanjaan kemungkiran itu
* Sementara itu artikel 5 ” Kerajaan bersetuju bahawa pegawai, selepas direkrut dan dilantik dalam Perjawatan Malaya, hendaklah dari semasa ke semasa, diagihkan dan diperuntukkan pegawai perjawatan Malaya itu (sekarang KSN) dalam kerajaan bagi menjalankan kewajipan berjadual
* Perkara 132 (2A) semua penjawat awam memegang jawatan selama diperkenanan seri paduka baginda yang dipertuan agong bagi kakitangan federal sementara penjawat awam negeri memegang jawatan selama diperkenan oleh sultan-sultan dan yang dipertua negeri

isu suk selangor 8 Isu SUK Selangor. Raja Raja Melayu Dicabar?

Dan di sinilah masalah seterusnya timbul apabila Sultan Selangor mengatakan baru-baru ini selepas pertemuan dengan Menteri Besar Selangor yang mana baginda tiada kuasa menerima atau menolak perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) disebabkan pindaan perlembagaan yang berlaku semasa krisis perlembagaan tahun 1993 yang mana kerajaan negeri Selangor ketika ini merancang mengadakan sidang Dun Tergempar untuk meminda semula perlembagaan negeri.

* Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim akan mengadakan sidang dewan undangan negeri tergempar bagi meminda perlembagaan negeri bagi membolehkan mereka melantik setiausaha kerajaan negeri, penasihat kewangan dan penasihat undang-undang.
* Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Mestika, Shah Alam bertitah yang mana baginda tidak mempunyai kuasa untuk menerima ataupun menolak perlantikkan yang dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.
* Ini kerana kuasa Raja-raja Melayu telah dpinda pada 1993 semasa krisis perlembagaan, di mana Perlembagaan Selangor juga dipinda untuk memberi kuasa kepada kerajaan pusat

isu suk selangor 3 Isu SUK Selangor. Raja Raja Melayu Dicabar?

Apa kata Pakar Undang-Undang Profesor Dr Aziz Bari?

* Putrajaya tidak mempunyai kuasa untuk menghalang Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menerima dan memberi perkenan kepada calon kerajaan negeri Selangor untuk mengisi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri
* Undang-Undang Tubuh Negeri jelas menyebelahi kerajaan negeri dalam perlantikan jawatan itu
* Pindaan yang dibuat oleh pentadbiran Tun Mahathir Mohamad tahun 1994, menimbangkan nasihat bermaksud menerima nasihat. Jadi undang-undang sebenar adalah sultan perlu menerima dan mendengar nasihat Menteri Besar
* Undang-Undang Tubuh Negeri telah meletakkan amalan yang sepatutnya dipatuhi oleh semua pihak berkenaan yang mana sebagai contoh Artikel 52 (4) menegaskan Setiausaha Kerajaan Negeri harus mengangkat sumpah di hadapan Menteri Besar Selangor. Ia tidak menyatakan individu berkenaan harus mengangkat sumpah di hadapan Sultan
* Kuasa melantik semenangnya di tangan Sultan, tetapi Sultan perlu meneliti cadangan dari suruhanjaya berkenaan. Sebelum itu, Sultan harus mendengar nasihat menteri besar Selangor sendiri iaitu Tan Sri Khalid Ibrahim
* Kalau berdasarkan perlembagaan, kerajaan persekutuan tidak mempunyai peranan
* Profesor Dr Aziz Bari juga menyokong gesaan supaya wakil-wakil rakyat Selangor mengadakan sidang tergempar membantah campurtangan Kerajaan Pusat.
* Dahulu, Parlimen meluluskan usul prihatin ke atas isu Sultan Johor pukul coach hoki. Jadi tidak ada masalah sekiranya sidang khas diadakan dan membincangkan situasi yang berlaku ini

isu suk selangor 6 Isu SUK Selangor. Raja Raja Melayu Dicabar?

Ini pula pendapat Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Nizamuddin

* Pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor tidak perlu diragui oleh kerajaan negeri itu kerana penjawat awam sentiasa dituntut supaya berintegriti dan profesional dalam melaksanakan tugas mereka
* Dakwaan kerajaan Selangor kononnya pelantikan bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor itu dibuat atas kepentingan politik Barisan Nasional (BN) hanyalah intepretasi yang tidak boleh dijadikan asas.
* Kerajaan PKR Selangor sebenarnya berasa tercabar kerana lantikan itu dibuat di luar pengetahuan mereka
* Kerajaan PKR Selangor pimpinan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim baru-baru ini mendakwa pelantikan Mohd Khusrin, yang mendapat perkenan Sultan Selangor, tidak muktamad kerana tidak dimaklumkan kepada kerajaan negeri
* Fasal 52 (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 menyebut jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri perlu diwujudkan, dan perlantikan ke jawatan ini hendaklah dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan, dari kalangan anggota mana-mana perkhidmatan awam yang relevan.

Apa pula pendapat pakar sejarah negara, Pakar sejarah Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim

* Lantikan tersebut tidak boleh dihalang oleh kerajaan negeri, sekiranya ia dibenarkan Perlembagaan Persekutuan
* Sekiranya kerajaan PKR Selangor tidak berpuas hati dengan calon lantikan kerajaan pusat, mereka harus sedar perkara itu hanya boleh diselesaikan di mahkamah

Apa pula pendapat penganalisis politik tempatan, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussein dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM)

* Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN) di bawah negeri-negeri Melayu Bersekutu iaitu Selangor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa untuk melantik pegawai perkhidmatan awam divisyen tinggi, kerana kuasa eksekutif itu tertakluk kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA)
* SPN di bawah negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu (Johor, Terengganu, Kelantan, Perlis dan Kedah)
* Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu mempunyai kuasa untuk melantik tiga jawatan tinggi iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri
* Khalid Ibrahim seharusnya lebih peka tentang perkara ini dan berhenti mempersoalkan pelantikan Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru.
* Hasrat Khalid meminda perlembagaan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959 untuk memberi kuasa kepada Kerajaan Selangor melantik jawatan tersebut pula hanya akan mengakibatkan krisis undang-undang yang lebih teruk.
* Mengikut perkara Perhubungan Antara Persekutuan Dengan Negeri-Negeri, sebarang usaha untuk meminda perlembagaan negeri akan terbatal dengan sendirinya jika ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan.

isu suk selangor 7 Isu SUK Selangor. Raja Raja Melayu Dicabar?

Semalam kalau baca berita harian, utusan ada dipaparkan kenyataan daripada Setiausaha Sulit Sultan Selangor.

Majlis Angkat Sumpah Taat Setia Setiausaha Kerajaan Selangor kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang akan diadakan pada hari Khamis, 6 Januari 2011, di Istana Bukit Kayangan akan tetap diteruskan. Ini adalah kerana sepengetahuan D.Y.M.M Sultan Selangor, Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru, Dato’ Haji Mohammed Khusrin bin Haji Munawi telah dilantik mengikut prosedur yang ditetapkan dan selaras dengan peruntukan Fasal (1) dan 2 (a) Perkara 52 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Pada majlis tersebut akan diadakan upacara Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor kepada D.Y.T.M Raja Muda Selangor sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-65 D.Y.M.M Sultan Selangor kerana ketika Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran kepada penerima-penerima sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-65 D.Y.M.M Sultan Selangor yang berlangsung pada 11 haribulan Disember 2010, D.Y.T.M Raja Muda Selangor berada di luar negara.

Selain daripada itu, pada majlis tersebut juga akan diadakan upacara Angkat Sumpah Taat Setia Penjawat Jawatan Setiausaha Kerajaan Selangor dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, pelantikan dan Angkat Sumpah Ahli Dewan di-Raja Selangor, pelantikan dan Angkat Sumpah Jaksa Pendamai Selangor, pelantikan Ahli Majlis Agama Islam Selangor dan Pelantikan Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Selangor. Semua upacara diadakan pada suatu masa adalah untuk menjimatkan masa dan kewangan.

Majlis tersebut bukanlah merupakan majlis pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru tetapi merupakan Majlis Angkat Sumpah Taat Setia Setiausaha Kerajaan Selangor kepada D.Y.M.M Sultan Selangor dan untuk berkhidmat dengan taat, setia dan jujur kepada Negeri Selangor. Berikutan pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru, selaras dengan peruntukan Fasal (3) dan (4) Perkara 52 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru hendaklah mempunyai hak untuk mengambil bahagian dalam prosiding Majlis Mesyuarat Kerajaan dan Dewan Negeri setelah mengangkat dan menandatangani Sumpah Simpan Rahsia di hadapan Y.A.B Dato’ Menteri Besar.

Berkenaan dengan tulisan Ahli Dewan Negeri Seri Muda, Y.B Shuhaimi bin Haji Shafiei pada 30 haribulan Disember 2010 yang disiarkan di dalam laman blog beliau. Dimaklumkan bahawa pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor tidak tertakluk kepada peruntukan Fasal (1) dan (1A) Perkara 55 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 sebagaimana yang dinyatakan oleh beliau, kerana Baginda hanya memberikan perkenan dan tidak menjalankan fungsi dan kuasa Baginda di bawah Undang-Undang Tubuh. Perkenan Baginda tidak tertakluk kepada peruntukan Fasal (1) dan (1A) Perkara 55 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 Perkara 55 (1) (1A). Oleh itu, sindiran beliau yang menyatakan D.Y.M.M Sultan Selangor seolah-olah sebagai “beraja di mata, bersultan di hati’’ adalah amat keterlaluan dan boleh mengelirukan rakyat. Kenyataan beliau yang sedemikian boleh dianggap sebagai cuba memberi amaran kepada D.Y.M.M Sultan Selangor dan cuba mempengaruhi rakyat untuk membenci Baginda.

Mengulas mengenai artikel pada 29 haribulan Disember 2010 di dalam akhbar Sinar Harian mengenai “Pelantikan SUK Tidak Semestinya Dibuat SPA’’ oleh Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku, Y.B Lau Weng San, yang menyatakan pelantikan Setiausaha Kerajaan boleh dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri (SPAN). Walaupun terdapat SPAN di negeri-negeri lain yang boleh melantik Setiausaha Kerajaan, tetapi di Negeri Selangor kuasa pelantikan tersebut adalah dijalankan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Persekutuan (SPA) selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Mengulas mengenai kenyataan akhbar Y.A.B Dato’ Menteri Besar pada 3 Januari 2011 yang menyatakan D.Y.M.M Sultan Selangor telah berpandangan bahawa Baginda tidak mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak calon-calon yang dicadangkan oleh SPA adalah kurang tepat. Apa yang berlaku sebenarnya, nama-nama calon untuk jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri telah disembahkan kepada Baginda oleh Jabatan Perkhidmatan Awam yang menjalankan kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Persekutuan selaras dengan kedudukan Baginda sebagai Ketua Eksekutif Kerajaan Negeri Selangor. Baginda memberi perkenan kepada salah satu calon yang dicadangkan. Selepas itu, calon tersebut telah dipersetujui oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Persekutuan melalui surat yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan melantik mengikut peruntukan Fasal (1) dan 2(a) Perkara 52 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959. Perkara ini telah menjadi amalan (convention) di Negeri Selangor.

Mengenai cadangan Y.A.B Dato’ Menteri Besar untuk berbincang dengan JPA atau SPA, D.Y.M.M Sultan Selangor sebenarnya telah menitahkan sepatutnya Y.A.B Dato’ Menteri Besar mengadakan perbincangan pemilihan calon ini sebelum calon-calon disembahkan oleh JPA atau SPA kepada Baginda dan bukannya berbincang selepas jawatan Setiausaha Kerajaan Selangor telah diperkenankan oleh Baginda dan dilantik seterusnya diisi oleh calon yang berkenaan. Tindakan Y.A.B Dato’ Menteri Besar untuk berbincang dan memilih calon-calon lain dengan JPA atau SPA setelah calon dilantik adalah tindakan yang tidak wajar diambil kerana boleh menjatuhkan moral dan kredibiliti serta integriti calon yang telah dilantik dan juga boleh mewujudkan satu suasana yang tidak baik dalam perkhidmatan awam Negeri Selangor.

Mengenai cadangan pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 yang dikatakan akan dibuat oleh Kerajaan Negeri bagi mengembalikan kuasa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri kepada D.Y.M.M Sultan Selangor, Baginda menitahkan supaya cadangan pindaan tersebut dipersembahkan untuk mendapat perkenan Baginda terlebih dahulu.

Harap-harap anda dah baca kenyataan di atas ini yang dibuat oleh Dato Haji Mohamad Munir Bani merangkap jawatan Setiausaha Sulit Sultan Selangor. Kalau dibaca semula kenyataan yang diberikan di atas ini, kedengaran agak canggung. Contoh? Kalau Tuanku Sultan terkhilaf, Menteri Besar berhak menasihati Tuanku. Perlembagaan negeri kata boleh. Ini perkara biasa dalam pentadbiran negeri yang melibatkan dua peneraju utamanya. Oleh itu, apa-apa perkara yang dibincangkan tidak sepatutnya diberitahu kepada awam kerana ianya mungkin boleh mengaibkan mana-mana entiti tersebut. Itu perkara biasa sebagai payung negeri. Yang Setiausaha Sulit Sultan sibuk nak bagi press statement apa yang berlaku semasa Menteri Besar mengadap Sultan pasal apa? Apa kena-mengena dia dengan urusan negeri. Walhal apa yang berlaku ketika ini ada isu yang melibatkan pentadbiran negeri.

isu suk selangor 2 Isu SUK Selangor. Raja Raja Melayu Dicabar?

Sekarang ini, Sultan Selangor memang tak boleh buat keputusan eksekutif berkaitan pentadbiran negeri tanpa nasihat Menteri Besar Selangor. Perlantikan SUK bukannya kena-mengena dengan kuasa prerogatif Sultan. Dalam Fasal 50 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor telah dinyatakan dengan terang; ianya tertakluk kepada Perlembagaan Malaysia iaitu Fasal 40. Fasal 40 ini mantan Perdana Mneteri Tun Mahathir telah meminda sebelum ini. Jika Sultan Selangor terkhilaf sebelum pertemuan dengan Menteri Besar, Menteri Besar berhak menasihati Tuanku dan jika perkara ini berlaku, ianya mesti dirahsiakan. Bukannya dengan mengaibkan Menteri Besar mahupun Tuanku Sultan dengan press statement seperti di atas ini. Perlu diingat, Sultan bukan sahaja sebagai individu malah baginda adalah sebuah institusi. Sebagai individu, baginda boleh terkhilaf tetapi sebagai institusi, baginda tidak boleh terkhilaf. Untuk itu, pelbagai tatacara dan prosidur telah digubal bagi memastikan prinsip ini sentiasa terpelihara.

Kemudian, kami nak tanya semula sejak bila cadangan pindaan perlembagaan negeri perlu mendapat persetujuan Tuanku Sultan sebelum dibentangkan. Fasal 66 Perlembagaan Persekutuan tak cakap macam tu pun. Jadual ke 8 Perlembagaan Persekutuan pun tak cakap. Dah tu Setiausaha Sulit ni cakap benda yang datang daripada mana?? Lagi satu yang nak buat kami tergelak pun ada. Ini dia, kami nak tanya kepada Setiausaha Sulit Sultan Selangor ini. Adakah beliau tak pernah jadi kakitangan awam? Sebagai kakitangan awam, kita angkat sumpah taat setia hanya semasa mula-mula masuk berkhidmat sahaja. Tak perlulah setiap kali naik pangkat nak kena sumpah depan Sultan ataupun Agong. Kalau jadi begitu, alamat jenuhlah Sultan atau Agong nak melayan beribu penjawat awam yang bertukar/naik pangkat setiap tahun untuk angkat sumpah. Fikir logik + faktalah. Semuanya sudah diterangkan dalam Fasal 52(4) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor dalam undang-undang tu sendiri.

Dato Haji Mohamad Munir Bani mengatakan seperti kenyataan di atas ini kami qoutekan semula di bawah :

Nama-nama calon untuk jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri telah disembahkan kepada Baginda oleh Jabatan Perkhidmatan Awam yang menjalankan kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Persekutuan selaras dengan kedudukan Baginda sebagai Ketua Eksekutif Kerajaan Negeri Selangor.

Baginda memberi perkenan kepada salah satu calon yang dicadangkan. Selepas itu, calon tersebut telah dipersetujui oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Persekutuan melalui surat yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan melantik mengikut peruntukan Fasal (1) dan 2(a) Perkara 52 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959. Perkara ini telah menjadi amalan (convention) di negeri Selangor.”

Kalau diikutkan dalam Fasal 52 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, dari sub Fasal (1) sampai sub Fasal (4) tak adapun sebut yang perlantikan SUK kena diperkenankan oleh Sultan. Memang Sultan adalah Ketua Eksekutif Kerajaan Negeri Selangor tapi kuasa eksekutif tersebut telah diperturunkan kepada Menteri Besar oleh Fasal 40 Perlembagaan Persekutuan. Kalau nak terang lagi, baca seksyen 1 kepada Jadual kelapan Perlembagaan Persekutuan.

P/S : Harap isu pelantikan SUK Selangor ini dapat diselesaikan secepat mungkin dan mencari “jalan penyelesaian yang terbaik” bukan untuk siapa, rakyat Selangor khususnya. Cakap-cakap yang kata kedudukan Raja-raja Melayu semakin tercabar, hentikanlah dan juga permainan isu perkauman. Kami tak tak nampak pun isu tersebut boleh timbul. Jadi apa sebab isu-isu seperti ini nak ditimbulkan?

PP/S : Maafkan kami jika artikel kali ini agak panjang untuk dibaca oleh anda. Jadi, kami nak tanya apa pandangan anda dengan isu SUK Selangor ini dan apa langkah yang sepatutnya diambil bagi menyelesaikan permasalahan dan isu ini daripada berpanjangan. Kalau dah lama sangat, pelabur pun tak berapa yakin dek kerana pergolakan yang berlaku di Selangor dan kesan akan berbalik juga kepada rakyat.

No comments: