Friday, September 12, 2008

Ada apa dengan AUKU


Program dialog ini dianjurkan oleh Badan Perwakilan Pelajar Mahallah As-Siddiq dengan kerjasama Kelab Intelektual Muda (IYC) dan Sekretariat Akademik dan Penyelidikan, Persatuan Ekonomi dan Sains Pengurusan berlangsung pada jam 9 malam hingga lewat 12.30 tengah malam bertempat di Auditorium Utama, UIAM.
UIAM, 29 Ogos 2008 - Empat ahli panel dalam satu program Dialog Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) bersepakat dan sekata bahawa AUKU merupakan undang-undang 'drakonian' yang memenjara kebebasan mahasiswa. Dialog tersebut juga mencatat sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya UIAM menemukan ahli Parlimen daripada 3 parti politik -UMNO, PKR, PAS dan seorang wakil pelajar

Dialog yang memakan masa lebih kurang tiga jam setengah itu menampilkan Sdr. Muhammad Faisal bin Abdul Aziz mewakili mahasiswa, YB Dato' Saifuddin Abdullah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, merangkap Ahli Parlimen Temerloh - UMNO, YB Mohd Yusmadi Mohd Yusuff Ahli Parlimen Balik Pulau Pinang dari PKR dan YB Salahuddin Hj. Ayub, Ketua Pemuda PAS yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Kehadiran keempat-empat panel ini berjaya menarik lebih 600 orang hadirin yang memenuhi dewan yang terdiri daripada para mahasiswa, pensyarah, ahli akademik dan pentadbir universiti dari pelbagai Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Wakil-wakil daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) juga turut kelihatan untuk terlibat sama dalam dialog ini. Walaupun notis penyebaran makluman berkenaan program ini agak singkat, namun kehadiran yang luar biasa ini menunjukkan komitment mereka dalam isu ini.

Menurut Pengarah Program, Sdra Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, dialog ini diadakan bertujuan membuka mata lebih ramai pelajar yang tidak mengikut dengan dekat rang undang-undang AUKU tersebut. "Kami fikir ini masa yang sesuai mengadakan forum sebegini kerana parlimen akan membahaskan cadangan pindaan akta ini," katanya.
"Kami juga ingin menunjukkan, mahasiswa bukan hanya berdemonstrasi saja (terhadap AUKU) tetapi juga boleh membincangkan sesuatu secara ilmiah dan tidak partisan."

Pada sesi dialog tersebut, setiap ahli panel diberi masa selama 10 minit untuk memberi pandangan dan ulasan mereka berkenaan AUKU sebelum sesi dialog bersama hadirin. Kesemua ahli panel sebulat suara bersetuju bahawasanya AUKU telah melemahkan mahasiswa yang merupakan barisan pelapis pimpinan negara pada masa akan datang.

Sdra Faisal, pelajar tahun ketiga jurusan Undang-Undang UIAM yang mewakili mahasiswa pada Dialog tersebut membawa hadirin kepada konteks sejarah apabila AUKU ini mula-mula diperkenalkan. Beliau berkata AUKU telah memenjara kebebasan mahasiswa dan mengurungnya dalam dunia kecil kampus-kampus di universiti. "Mahasiswa perlukan kebebasan dalam mendewasakan dan mematangkan diri bagi menghadapi cabaran dunia yang sebenar" ujarnya.

YB Salahuddin pula menekankan bahawa mahasiswa merupakan golongan pelapis yang akan memerintah Negara. Sehubungan dengan itu, AUKU perlu dimansuhkan kerana menyekat kebebasan mahasiswa untuk terlibat secara langsung dalam proses pembinaan Negara. Beliau juga mahu generasi mahasiswa pada masa ini bebas daripada undang-undang kejam ujarnya.

YB Yusmadi pula menekankan kepada aspek perundangan dan falsafah AUKU. Beliau juga menyarankan agar mahasiswa pada zaman sekarang tidak terikat dengan orientasi lama kerana pada zaman dahulu, gerakan pelajar adalah mengikut hiraki atau centralized manakala pada zaman sekarang adalah bersifat horizontal. Beliau juga berbangga kerana diberi peluang untuk berada di atas pentas bersama ahli-ahli politik yang berbeza parti untuk membincangkan isu-isu bersama.

YB Dato' Saifuddin menegaskan orientasi gerakan mahasiswa terdiri dari tiga jenis, iaitu 'aktiviti', 'bakti' dan 'advokasi'."Advokasi adalah ciri utama gerakan mahasiswa, dan yang membezakannya dengan pelajar sekolah, tetapi ia dihalang AUKU".Beliau juga menjelaskan bahawa AUKU banyak dipinda tapi bahagian yang tidak dipinda itu sebenarnya isu yang paling utama.

Dialog tentang isu kontroversi ini yang dikendalikan oleh Sdr Mohd Saifullah Zulkifli sesekali diselang-selikan dengan jenaka dan sindiran berbaur politik. Ini mengundang senyuman dan gelak tawa para hadirin yang datang pada malam itu.

Semasa sesi Dialog, para hadirin terutamanya mahasiswa dan pensyarah memberikan respon dan pandangan yang bernas dan kritikal kepada setiap ahli panel. Terdapat juga mahasiswa Indonesia yang bertanyakan kepada panel "Adakah dengan termansuhnya AUKU, maka pelajar Malaysia akan menjadi seperti mahasiswa di Indonesia?" Majoriti daripada ahli panel bersepakat bahawa keadaan dan situasi di Malaysia adalah berbeza dengan Indonesia dan mahasiswa adalah cukup matang dan pandai menilai dalam membuat keputusan.

Selepas tamatnya sesi dialog antara para hadirin dan para panel, moderator dialog memberi laluan kepada Pengarah Program, untuk membentangkan beberapa penegasan hasil daripada perbincangan dialog tersebut.

Penegasan Forum Pindaan AUKU menekankan keada dua aspek iaitu;

  1. Kebebasan mahasiswa

· Idealisme - mahasiswa bebas bertindak atas dasar idealisme iaitu menegakkan kebenaran dan mempertahankan keadilan tanpa terikat dengan kepentingan politik kepartian.

· Rakan Pembina Negara & Partnership Leadership- Mahasiswa juga perlu diberi ruang dan peluang secara aktif sebagai "rakan tulen" pembangunan terutamanya dalam struktur dan proses membuat keputusan.

· Kebebasan Berpersatuan - Badan Bukan Kerajaan (NGO) atau mana-mana persatuan yang berdaftar di bawah pendaftar organisasi belia (ROY) dibenarkan untuk berdaftar secara sah di dalam universiti.

· Kebebasan Bersuara - Mahasiswa bebas untuk menyuarakan pendapat tanpa rasa takut atau terikat dengan kepentingan mana-mana pihak. Suara mahasiswa perlu didengari, isunya ditangani, peranan mahasiswa diiktiraf dan diambil perhitungan serius. Budaya advokasi perlu disemai dalam memastikan mahasiswa tidak hanya terikat dengan aktiviti di bilik kuliah semata-mata.

  1. Autonomi Universiti

· Kebebasan Akademik - pensyarah diberi kebebasan untuk menyuarakan pandangan tanpa rasa takut kepada mana-mana pihak atau terikat dengan politik kepartian.

· Undang-Undang Kecil Universiti- Sekiranya AUKU dipinda, universiti-universiti yang tidak tertakluk kepada AUKU seperti UIAM, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan IPTS seharusnya mengambil tindakan yang sama dengan meminda Undang-Undang kecil Universiti membawa kesan yang sama seperti AUKU yang ada pada hari ini.

· Kebebasan Universiti - Pentadbiran universiti bebas daripada pengaruh politik kepartian.

· Bahasa Melayu -Mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa teras dalam semua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tanpa mengabaikan bahasa lain.

Pihak penganjur juga tidak ketinggalan dalam melakukan kaji selidik tentang pindaan AUKU ini. Keputusan bancian menunjukkan 72.12% hadirin setuju agar AUKU dimansuhkan, 26.55% meminta agar AUKU dipinda dan hanya 1.33% sahaja menyatakan agar AUKU dikekalkan seperti sedia ada.

Perbahasan isu AUKU di Parlimen ini akan disambung pada waktu yang tidak diketahui tarikhnya dengan tepat.

Sebagai mewakili suara-suara mahasiswa di Malaysia, kami berharap dan menggesa agar status AUKU ini dapat ditentukan secepat mungkin dan berharap agar ahli-ahli parlimen ini dapat menyampaikan suara mahasiswa di Parlimen.

Penganjur juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Berhormat ahli panel dan para hadirin yang hadir pada malam itu. Tidak dilupakan, terima kasih ditujukan kepada pihak pentadbiran universiti dan Ahli Jawatankuasa Kuasa Program kerana bersikap terbuka dan memberikan kerjasama dalam memastikan program Dialog ini berjalan dengan lancar.

Pihak penganjur juga berharap agar program perbincangan ilmiah yang bersifat akademik ini akan dapat diteruskan dan disuburkan di pusat-pusat pengajian tinggi dengan adanya penglibatan mahasiswa secara langsung seterusnya dapat mendedahkan mahasiswa kepada isu-isu kontemporari.

No comments: