Wednesday, October 22, 2008

adikku Baru UPSR dah pandai!!!

HARIAN METRO AHAD 1 JUN 2008

KUALA LUMPUR: Sangat membimbangkan apabila remaja seawal usia 12 tahun ketagih seks dan onani, bertukar-tukar pasangan seks, minum arak, lesbian, hidu gam, meraba, mencuri dan merokok.

Pelbagai krisis sosial yang menakutkan itu dikesan Gerakan Ehsan Selangor (GES) selaku satu daripada penganjur program yang dikhaskan kepada pelajar bermasalah di Selangor sepanjang penganjuran program Kem Smart Remaja sejak enam tahun lalu.

Tidak cukup itu, pertubuhan badan bukan kerajaan berkenaan turut menemui pelajar berusia 14 tahun tidak tahu mengucap dua kalimah syahadah, membaca surah al-Fatihah dengan betul, mandi wajib dan bersembahyang.

Setiausaha Kehormat GES, Mahezan Baharom Shah, berkata sepanjang GES terbabit dengan program berkenaan, satu rumusan boleh dibuat iaitu remaja yang terbabit dengan gejala sosial datang daripada pelbagai latar belakang keluarga.

“Remaja yang terbabit dengan gejala sosial tidak semestinya datang daripada keluarga miskin, ada juga membabitkan anak orang kaya atau VIP, datang daripada keluarga berpendidikan, ibu bapa orang kuat agama, profesional dan sebagainya,” katanya.

Mahezan berkata, program yang bermula sejak 22 April 2003 itu dan sehingga kini sudah siri ke-11 ‘mengeluarkan’ 621 peserta dari seluruh daerah di Selangor membabitkan 454 lelaki dan 167 perempuan.

Menurutnya, sepanjang pengalaman GES terbabit dalam Kem Smart Remaja, didapati hampir keseluruhan remaja berusia 13 hingga 15 tahun yang mengikuti program itu mengaku merokok sejak seawal darjah enam, selain gemar menyimpan rakaman aksi seks dalam telefon bimbit.

Lebih serius lagi, katanya, ada peserta menyamakan perbuatan mereka dengan ibu bapa seperti minum arak, merokok dan berhibur di kelab malam.

“Apabila ditanya sebab apa mereka terbabit misalnya merokok, dia menjawab, ‘mengapa ibu bapa boleh lakukan, sedangkan saya tidak boleh’.

“Sepanjang enam tahun, pengalaman yang saya lalui bersama rakan sangat menakutkan. Malah, ada yang datang ke sini dalam keadaan ‘tidak betul’, selalu tersenyum, menyendiri dan buat apa yang disukai tanpa memikirkan orang lain dan selepas diselidiki, ia angkara menghidu gam,” katanya.

Mahezan berkata, yang membimbangkan, golongan itu masih muda dan mentah, tetapi arif melakukan aktiviti ‘hard core’ (melampau).

Mahezan, antara orang terawal terbabit dalam program itu, berkata antara masalah lelaki dan perempuan, kedua-duanya hampir sama, tetapi yang mengejutkannya perlakuan seks semakin meningkat.

“Mereka bukan saja suka menyimpan koleksi rakaman seks dalam telefon bimbit tetapi arif mengenainya, malah seawal usia 12 tahun sudah melakukannya dan lebih mengejutkan, ada perempuan bertukar pasangan sehingga 10 lelaki.

“Selain itu, berdasarkan pengakuan mereka, peserta perempuan terbabit dalam aktiviti meraba, mencuri, memeras ugut, bohsia, ketagih onani, ponteng kelas, merokok dan lesbian.

“Sementara lelaki pula, selain terdedah dengan seks, juga terbabit dalam rempit, merokok, hisap ganja, hidu gam, curi motosikal dan gay,” katanya.

Mahezan berkata, perilaku seseorang itu diketahui melalui sesi ‘soal-siasat’ bersama peserta melalui borang yang diedarkan.

“Apabila mereka meluahkan aktiviti sebelum ini melalui borang, kami mendekati untuk mencungkil rahsia dan kemudian memberi semangat serta petunjuk untuk berubah,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan pengalamannya, punca atau penyebab kepada masalah dihadapi remaja hari ini ialah masalah keluarga seperti perceraian serta kesibukan ibu bapa sehingga mengabaikan anak, termasuk kurang beri perhatian dan kasih sayang.

“Ada peserta, ibu dan bapanya sibuk bekerja dan dia diberi kemewahan seperti kad kredit, kereta dan pembantu. Dengan kemudahan itu, dia bebas ke mana saja untuk bergembira, termasuk ke disko,” katanya.

Menurutnya, remaja pada usia belasan tahun mudah terpengaruh untuk meneroka perkara baru atau yang menarik minat mereka.

“Perempuan suka berahsia tetapi apabila dia sudah percaya dengan seseorang, hubungan itu lebih rapat dan mesra dan kemudian lelaki ambil kesempatan,” katanya.

Mengenai keberkesanan program berkenaan, Mahezan berkata, secara keseluruhan ada berubah dan lebih mengharukan apabila ibu bapa mengucapkan terima kasih dengan perubahan tingkah laku anak mereka.

“Dulu ada yang tak sembahyang tetapi kini melaksanakannya, lebih hormat orang tua dan mendengar kata. Ada juga tidak mahu berubah tetapi selepas mereka menyertai program ini, kami menjejaki mereka sehingga tamat persekolahan,” katanya.

Sementara itu, Fasilitator, Al Kamarizal Abd Latif, 32, yang juga ahli jawatankuasa pembimbing sejak 2003 mengakui berdepan dengan pelbagai kes ‘unik’.

Katanya, ada kes pelajar berusia 14 tahun ketagih minum arak disebabkan tiada sekatan keluarga, malah di rumah mereka turut disediakan air setan itu dan bar.

“Ibu bapa mereka tidak melarang, bagaimana kita hendak ‘tegur’ pelajar terbabit? Jika ‘bimbingan’ di rumah sudah ada cacat cela, sukar dibetulkan semula,” katanya.

Al Kamarizal berkata, pernah juga dia berdepan kes pelajar ketagih seks dengan sepupu dan kerap melakukannya di rumah mereka sendiri.

“Selepas waktu sekolah, mereka ada masa antara empat hingga lima jam sementara ibu bapa pulang. Masa inilah mereka melakukan perkara tidak elok.

“Jika hal begini timbul, siapa harus disalahkan? Namun, saya akui ada kalanya anak sukar dikawal, ibu bapa harus memerhatikan mereka,” katanya.

1 comment:

Ahlami said...

reality anak muda akhir zaman tanpa bimbingan sempurna...